MASJID AL-HASANAH

Bandar Baru Bangi, Selangor.

Sejarah Penubuhan Masjid Al-Hasanah

Masjid al-Hasanah Bandar Baru Bangi merupakan salah satu masjid kariah dalam Daerah Hulu Langat. Lokasinya terletak di persimpangan lampu isyarat di jalan PB1 Persiaran Kemajuan Pusat Bandar Seksyen 9 Bandar Baru Bangi.  Sejarah awal pembinaannya dicetuskan dari perhimpunan persatuan penduduk Bandar Baru Bangi pada 1990 yang memohon kepada kerajaan negeri supaya dibina sebuah masjid di bandar ini untuk keperluan jemaah dan solat Jumaat.  Hasilnya sebuah masjid telah mula di bina pada awal tahun 1997 dan dapat disiapkan pada akhir tahun tersebut.

Satu pertemuan ringkas antara Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Pegawai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat (Ustaz Mohd Amin) dan Pengerusi Persatuan Penduduk (Dr.Tajul Ariffin) telah diadakan di masjid berkenaan untuk penyerahan kunci kepada Tn Hj.Ghazali bin Abas Pengerusi Surau An-Nur yang diamanahkan untuk memulakan tadbir urus masjid ini.

Kos pembinaan masjid ini bernilai RM 2 juta ketika itu yang boleh memuatkan 3000 jemaah dalam satu masa.  Reka bentuknya sebuah Menara  dan sebuah qubah berwarna hijau bercirikan qubah Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah. Oleh kerana itu sewaktu ketika masjid ini dikenali sebagai masjid hijau. Solat pertama diadakan pada waktu Asar yang diimamkan oleh Yang Berbahgia Prof. Dr. Haron b. Din.  Manakala Us. Hj. Ali b. Hj. Ahmad adalah sebagai muazzinnya ketika itu.

Masjid ini telah dirasmikan pada 10 Mac 2000 oleh Pemangku Sultan Selangor Yang Amat Mulia Tengku Idris Shah Ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah alhaj.  Dengan terbinanya Masjid al-Hasanah maka terbinalah roh pembangunan Islam Melayu di Bandar Baru Bangi.  

Kemudian Mesyuarat pertama pada 13 Januari 1998 telah memutuskan satu Jawatankuasa rasmi masjid dibentuk yang dipengerusikan oleh Tn Hj. Ramlan b. Othman, Pegawai Daerah Hulu Langat. Solat Jumaat pertama diadakan pada 16 Januari 1998.

Awal tahun 90an persekitaran masjid ini belum banyak dengan rumah penduduk, oleh kerana itu pengimarahan masjid lebih kepada solat berjemaah 5 waktu dan solat jumaat di samping sedikit pengisian kuliah maghrib dan beberapa sambutan hari kebesaran Islam.  Namun mula awal tahun 2000 apabila Seksyen 9 mula dipenuhi dengan rumah penduduk dan menjadi bandar utama di kawasan ini masjid al-Hasanah mula mendapat sambutan yang sangat baik dari para jamaah.