Program Terapi Psikospiritual Islam (PTSI) Siri 1/2026

15 April 2026 bersamaan 26 Syawal 1447H – Seramai 46 orang klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor dari daerah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah mengikuti Program Terapi Psikospiritual Islam (PTSI) Siri 1/2026 bertempat di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, semalam.

Program bimbingan spiritual ini merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK). Penganjuran ini dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama AADK Negeri Selangor, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat dan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan dan perasmian oleh Nazir Masjid Al-Hasanah, Ustaz Mohd Safian Bin Abdul Rahman. Dalam ucapan tersebut, beliau menegaskan bahawa Allah SWT sentiasa membuka luas pintu taubat dan ruang untuk hamba-Nya kembali ke sisi-Nya. Beliau turut menitipkan pesanan agar para peserta tidak sesekali berputus asa dalam mencari rahmat-Nya selagi nyawa masih dikandung badan, di samping memperkasakan peranan masjid sebagai pusat bimbingan dan pemulihan jiwa masyarakat.

Sesi bimbingan utama program telah dikendalikan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Kanan Masjid Putra, Putrajaya, Ustaz Mohd Mustafiddurrahman bin Mohd Syahroni selaku penceramah jemputan. Pengisian modul memfokuskan kepada pendekatan integrasi naql (dalil al-Quran dan Sunnah) dan aql (pertimbangan akal), serta penekanan terhadap proses tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) sebagai elemen utama dalam membantu transformasi diri para klien.

Kehadiran seramai 46 peserta ini memperlihatkan komitmen dan tekad yang tinggi dalam kalangan klien untuk memahami peranan mereka sebagai khalifah Allah SWT serta usaha membina kehidupan yang lebih bermakna pasca pemulihan.

Pihak masjid berharap agar inisiatif psikospiritual ini mampu memberi impak positif yang mampan dalam membantu golongan sasar kembali pulih sepenuhnya dan kekal istiqamah dalam fasa penghijrahan mereka.

Penghargaan dirakamkan kepada semua pihak dan agensi terlibat yang telah memastikan kelancaran program ini selaras dengan visi Masjid Al-Hasanah untuk menjadi sebuah pusat komuniti yang unggul.